Rabu, 29 Disember 2010

Islam Itu Bukan Hanya Di Sekolah Agama


Izzati. Indah nama itu. Secantik dan semulia akhlak insan yang menjadi pemegangnya. Hidup di IPIS (Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam) memang merupakan impiannya sejak sekian lama. Sudah hampir 3 tahun dia berdoa agar dirinya nanti dihantar ke suatu tempat yang dia kira cukup Islamik ,agar mudah untuk dia mengubah diri serta jalan hidupnya.
Bukan selama ini dia tersesat, cuma dia ingin menjadi seseorang yang baru, berbeza dengan dirinya yang dahulu. Sungguh Allah itu Maha Mendengar. Mengalir air mata suci daripada sepasang mata yang sering melemparkan pandangan bening itu. Begitu dia bersyukur apabila doanya dijawab. Subhanallah. Allah itu Maha Berkuasa.
6 bulan pertama berada di IPIS sudah cukup untuk merubah segala-galanya tentang dirinya. Usahkan penampilan, cara pergaulan dan percakapannya berubah sama sekali. Dia kini seorang yang serba baru. Meskipun begitu, dia tidak pernah lupa asal usulnya. Siapa dia,dari mana dirinya.
Setelah 6 bulan berada di IPIS, sudah tibalah masanya untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Sedih juga rasanya untuk meninggalkan IPIS yang kini sudah menjadi sebahagian daripada jiwanya.
"Assalamualaikum!! Izzati dah sampai!! Mak, Ayah!!" Terdengar suaranya yang lantang memecah keheningan subuh...
"Wajah insan tersayang kini sudah berada di depan mata. Apalagi, pergilah peluk!", gertak jiwa kecilnya.Tidak tergambar rasa gembiranya hati apabila dapat mengucup pipi ibu serta ayah tercinta.
Perubahan Izzati sedikit sebanyak telah mempengaruhi orang di sekelilingnya. Ada yang boleh menerimanya dengan baik. Tidak kurang juga yang memandang serong terhadapnya. Tetapi, bukan itu yang Izzati risaukan. Kini, dia sudah ada tanggungjawab besar yang akan disoal di akhirat kelak. Tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu yang ada padanya. Ilmu yang masih sangat sedikit itu ingin dia kongsikan bersama dengan harapan mereka akan turut merasakan betapa manisnya hidup mengikut acuan Islam sejati.
Perjuangan Izzati tidak mudah. Untuk mengubah keluarga sendiri pun dia masih tertatih-tatih. Walaupun begitu dia tidak pernah berputus asa. Hampir setiap hari, ada sahaja terdengar suaranya memenuhi rumah dengan nasihat serta pengajaran yang penuh bermakna. Ada kalanya kaum keluarga mendengar dengan penuh perhatian. Ada pula waktunya Izzati seperti berbicara sendirian kerana orang-orang di sekelilingnya sudah bosan dengan ucapan yang agak sama setiap hari. Tetapi, tidak pernah pula sikap seperti itu merubah semangat Izzati.
Hari itu Izzati pergi menziarahi neneknya yang kurang sihat di kampung. Alangkah gembiranya Izzati apabila dia menemui seorang sahabat lama yang dahulunya turut bersamanya bermain teng-teng dan meneruskan perjuangan bersama sehingga ke sekolah menengah. Tetapi,dalam kegembiraan tersebut timbul sedikit kesedihan di hati Izzati. Lia yang dia kenali dahulu sudah berubah sama sekali.T udung tidak lagi menutup rambutnya. Rambutnya kini pula sudah dihiasi dengan segala jenis macam warna yang menyakitkan mata yang memandang. Belum lagi ditambah dengan tindikan-tindikan di telinga yang melemaskan jiwa. Baju yang nipis dan ketat.Pergaulan dengan lelaki?? Tidak mampu Izzati membicarakan perihal Lia yang selanjutnya.
"Lia, kenapa Lia berubah? Kenapa Lia tak pakai tudung? Rambut Lia ni... dulu kan cantik.. Lia dah lain sangat. Janganlah macam ni Lia. Zati rindu Lia yang dulu. Lia yang lembut, sopan, pemalu, yang jaga aurat dan yang paling penting, jaga pergaulan..." keluh Izzati pada suatu petang yang sunyi.
Lia hanya mendiamkan diri. Mungkin sedikit terkesan di hatinya apabila kata-kata seperti itu diucapkan oleh sahabat karibnya sendiri. Memang dia akui kata-kata Zati itu betul semuanya. Tetapi, suasana di kampung memang telah banyak mempengaruhi gaya hidup Lia. Bergaul dengan remaja sebayanya yang bermasalah telah betul-betul menjadikan Lia insan yang berbeza. Dengan nada yang agak keras, Lia menjawab segala persoalan yang Izzati ajukan padanya.
"Zati... Zati kne ingat. Ini kampung. Bukan macam tempat Zati IPIS tu Islamik. Memanglah senang Zati nak kekalkan diri Zati yang baik ni. Kampung ni. Macam-macam ada. Orang-orang yang tinggal dalam kampung ni bukan sembahyang sangat pun. Kalau dah yang tua-tua itu pun tak dapat nak jadi contoh, macam mana kita orang yang muda ni nak jadi baik? Zati patut ajar yang tua-tua tu dulu, baru ajar Lia. Zati cakap senanglah. Nanti, kalau Zati dah lama-lama kat sini, mesti Zati pun berubah. Takkan bertahannya diri Zati yang sekarang ni. Percayalah cakap Lia .Zati janganlah nak jadi hipokrit. Buat-buat baik kat sini untuk tunjuk kat kita orang semua. Lia tahu Zati ni siapa. Pasal tudung dan rambut tu, tempat ni lain Zati. Kalau kat IPIS Zati wajib pakai tudung labuh ,kat sini tidak ada peraturan macam itu. Jangan pula Zati nak wujudkan peraturan sendiri. INI BUKAN IPIS!"
"Astarghfirullahalazim! Lia! Kenapa Lia cakap macam itu?! Islam itu ada di mana-mana Lia. Bukan dekat IPIS sahaja. Sebagai umat Islam sejati, sudah menjadi kewajipan kita untuk mematuhi segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah walau di mana pun Lia berada. Jangan jadikan suasana kampung ini sebagai alasan untuk Lia berubah. Lia, kalau orang di sekeliling Lia tidak mampu untuk mendidik Lia, Lia patut didik dan kuatkan diri sendiri. Memang tidak mudah Lia. Zati pun tak rasa mudah untuk kekal begini. Tetapi, itulah hakikatnya. Kita takkan mampu untuk berubah sekiranya kita sendiri tidak berusaha. Ingat Lia. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu umat itu sehingga mereka sendiri berusaha untuk berubah.." berlinang air mata suci Izzati tatkala mengucapkan kata-kata tersebut.Sungguh tidak disangka,sampai begitu sekali Lia berubah.Baru 6 bulan mereka berjauhan ,Lia sudah jauh pergi meninggalkan agamanya.
"Ala...Janganlah Zati nak buat-buat suci kat sini. Tempat ni lain Zati. LAIN! Zati pakai macam ni,tudung-tudung yang macam 'khemah bergerak' ni, Zati ingat orang sanjung Zati ke? Budak-budak kampung ni... hari-hari mengumpat Zati.. Zati datang je dia orang gelarkan Zati 'khemah bergerak'. Kelakarlah Zati. Janganlah pakai macam ini lagi Zati. Tak sesuai kat sini. Kita dekat kampung, buatlah macam cara dekat kampung. Nanti, kalau Zati dah balik IPIS, sesuailah Zati pakai macam ni. Memang wajib dekat sana kan? Dekat sini tak pun.." Dengan nada selamba Lia mengucapkan kata-kata tersebut.
Zati hampir pengsan apabila mendengar kata-kata seperti itu diucapkan oleh sahabatnya sendiri. Bertambah pilu dan sedih hatinya. Bukan kerana gelaran 'khemah bergerak' itu atau umpatan orang kampung, tetapi kerana cara hidup sahabatnya yang kini semakin jauh dari Allah. Dalam diam Zati berdoa di dalam hati agar dosa-dosa sahabatnya itu diampunkan oleh Allah dan dibukakan semula pintu hatinya untuk kembali pada Islam. Sungguh kasih dia pada sahabatnya ini sehingga tidak sanggup dia untuk melihat Lia tersiksa di akhirat kelak. Azan maghrib yang berkumandang menyedarkan Zati. Cepat-cepat dia menyeka air matanya. Dia segera membetulkan tudungnya.
"Lia, jom balik.Dah masuk waktu maghrib. Kita solat. Hari ini kita baca surah an-nisa' serta tafsirannya sekali."
Teringat Izzati saat-saat indah dahulu di mana dia dan Lia seringkali membaca al-quran bersama-sama dan bertadabbur di surau berhampiran rumah neneknya. Sungguh indah waktu itu.
"Jom Lia.." Izzati menarik lembut tangan sahabatnya itu.
"Takpe. Zati pergilah! Hati Lia sudah tertutup untuk itu. Lia nak keluar dengan kawan-kawan Lia kejap lagi ni. Bila Lia dah dapat SERU nanti Lia solat. Kita masih muda Zati .Masih banyak masa untuk kita. Zati ni macam org tua la. Sibuk beribadah macam dunia ni dah nak kiamat. Dia orang patutlah buat macam itu. Umur pun dah tak panjang.Kita ni muda lagi".
Astarghfirullahalazim. Pedih sekali hati Izzati mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. Izzati sudah tidak mampu lagi berdiri di situ. Dia segera berlalu. Kudratnya sudah lama habis. Lemah dirinya apabila mendengarkan kata-kata Lia. Di dalam hati Izzati banyak-banyak berdoa dan meminta keampunan kepada Allah di atas kelemahannya yang tidak mampu untuk membantu sahabatnya itu.Dia pergi meninggalkan Lia dengan linangan air mata.
Setelah hampir dua bulan bercuti, kini Izzati akan kembali semula ke IPIS untuk semester kedua. Perjuangannya kali ini pasti lebih sukar. Azamnya kali ini lebih tinggi. Bila dia kembali lagi nanti, dia akan buat lebih banyak lagi.
"Zati!!" Terdengar sayup-sayup suara Lia memanggilnya dari jauh. Zati menoleh ke belakang.
"Lia...dah lama tak jumpa Lia. Zati nak balik dah ni. Nanti Zati datang sini lagi. Ingat Lia .Islam itu ada di mana-mana. Bukan di IPIS saja. Di sini juga.. di HATI..." ucap Zati smbil meletakkan kedua-dua tangan sahabatnya di dadanya.
Kemudian Izzati berlalu pergi.Dengan linangan air mata, dia berharap agar pintu taubat masih terbuka untuk sahabatnya itu. Lia hanya terdiam dan tergamam. Masih cuba untuk memahami kata-kata Izzati tadi.

1 komen:

Aisya Humaira' berkata...

sesungguhnya Islam itu ada di hati...dan jangan sesekali kamu melupakan Tuhan kerana Dia tidak pernah melupakanmu,sesungguhnya Allah itu Maha Melihat.

Catat Ulasan