Sabtu, 20 November 2010

cInTa iTu SePeRti gArAM

Amir dan isterinya sedang berada di dapur.
"Abang, sayang minta maaf kerana abang yang terpaksa memasak pada hari ini."
Amir tersenyum.
"Sayang sudah masakkan makanan yang sedap untuk abang hampir setiap hari. Kali ini, biarlah abang pula yang memasak untuk sayang. Sayangkan demam, sayang berehatlah."
Aisyah berkata,
"Tugas memasak, abang serahkanlah kepada Aisyah. Abang sudah seharian bekerja untuk mencari rezeki. Kini giliran Aisyah pula untuk melayani abang. Memasak dan melayan abang adalah kerehatan untuk Aisyah."
Amir berkata,
"Malam ini, biarlah abang yang memasak untuk Aisyah. Bukan selalu Aisyah dapat merasa masakan abang. Aisyah bimbang masakan abang tidak sesedap masakan Aisyah?"
Aisyah tersenyum dan berkata,
"Masakan abang tentulah sedap, tetapi tidaklah sesedap masakan Aisyah."
Amir tersenyum dan membalas,
"Masakan abang makin bertambah sedap. Selepas ini Aisyah akan merayu-rayu meminta abang supaya memasak untuk Aisyah."
Aisyah tersenyum dan berkata,
"Aisyah tahu, abang memasak menggunakan perencah kasih sayang, sebab itulah masakan abang makin bertambah sedap."
Amir tersenyum dan bertanya kepada Aisyah.
"Sayang, berapa banyak garam yang perlu abang masukkan ke dalam masakan ini?"
Aisyah menjawab,
"Abang masukkanlah garam dengan secukup rasa. Jangan terlalu banyak dan jangan terlalu sedikit."
Amir menjawab,
"Boleh sayang tolong abang untuk masukkan garam ke dalam masakan ini? Abang terpaksa mengalah, sayang lebih pakar dalam hal memasak berbanding abang."
Aisyah tersenyum dan menolong suaminya.
"Abang tahu kenapa kita kena masukkan garam dengan secukup rasa sahaja? Kenapa tidak boleh terlalu banyak atau tidak boleh terlalu sedikit."
Amir menjawab,
"Tukang masak profesional mahu menguji abang, ya? Kalau terlebih garam, masakan akan jadi masin dan kalau terkurang garam pula masakan akan jadi tawar."
Aisyah tersenyum.
"Kalau garam perlu dimasukkan dengan secukup rasa, bagaimana pula dengan cinta?"
Amir tersenyum dan menjawab,
"Abang mungkin kalah dengan Aisyah dalam hal memasak, tetapi abang tidak mahu kalah dengan Aisyah dalam soal cinta."
Aisyah tersenyum dan Amir meneruskan kata-katanya,
"Abang berikan cinta abang kepada Aisyah dengan secukup rasa. Cinta yang abang berikan kepada Aisyah, tidak lebih dan tidak kurang. Semoga cinta antara abang dan Aisyah tidak akan melalaikan kita daripada mengingati Allah."
Aisyah tersenyum dan berkata,
"Abang memang pakar dalam bercinta. Makin hari, makin Aisyah cinta kepada abang. Kadang-kadang, Aisyah rasa abang adalah pakar bius. Aisyah dibius cinta."
Amir tersenyum.
"Nasib baik abang tidak menjadi doktor. Kalau tidak, ramai pula pesakit yang terbius dengan bius cinta abang."

0 komen:

Catat Ulasan